MIRI, 10 Disember – Seorang pemuda warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika mandi di sebuah parit buatan di Ladang Surai, Simpang Lapok, Jalan Beluru–Long Teru semalam, ditemukan lemas, hari ini.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa, Irfan, 18, ditemukan orang awam pada pukul 11.06 minit pagi, kira-kira 150 meter dari lokasi dilaporkan hilang, selepas paras air di kawasan berkenaan mulai surut.
Mangsa kemudian dibawa ke kuarters pekerja, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Semalam, rakan senegara mangsa, Aidil, 20, yang turut hanyut dibawa arus ditemukan lemas lebih awal sebelum ketibaa pasukan bomba dan telah diserahkan kepada pihak polis Bekenu untuk tindakan susulan.
Operasi SAR ditangguhkan lewat petang semalam dan disambung semula pagi tadi.
Dengan penemuan jasad mangsa kedua itu, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.06 pagi.

