Warga emas OKU maut dipercayai terjatuh ke dalam tali air

IPOH, 17 Disember – Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari kerusi rodanya ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru, dekat Selekoh, Hutan Melintang, pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah menerusi satu kenyataan memaklumkan, mangsa warga tempatan berusia 77 tahun yang berkaki palsu itu ditemukan terapung di bawah Jambatan Sungai Tiang, kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh, pada pukul 8.40 pagi.

“Jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.13 pagi dan kerusi roda milik mangsa ditemukan di tepi tali air, dipercayai mangsa terjatuh ke dalamnya,” katanya.

Menurut beliau, pasukan bomba menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota melakukan pencarian di sekitar kawasan kejadian.

Mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam air oleh anggota bomba sebelum diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.