KOTA KINABALU, 17 Disember – Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun cedera akibat kebakaran di Kampung Chinta Mata Bukit, Tenom, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Sabunus Sia, sembilan anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal yang terbakar 80 peratus dan tiga buah kenderaan musnah sepenuhnya. Kejadian dipercayai bermula daripada sebuah kenderaan sebelum merebak ke rumah berhampiran.
“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam. Operasi kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 4.38 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas di Kampung Tambulion Laut, Kota Belud memasuki hari kedua.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi SAR dimulakan seawal 9.15 pagi dan dibahagikan kepada enam sektor pencarian.
Mangsa, Minun Kasim, 83 tahun, terakhir dilihat pada pukul 5.30 petang Isnin lalu. Operasi diketuai Komander Operasi, Thomas Bolu, disertai 10 anggota bomba bersama kerjasama pelbagai agensi dan 20 penduduk kampung.

