KINABATANGAN, 23 November -Dalam tempoh kurang tiga tahun, negara berjaya merealisasikan penglibatan pelajar secara menyeluruh dalam usaha memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pembangunan sektor TVET turut membuka ruang lebih luas kepada pelajar Ma’ad Tahfiz dan sekolah pondok, yang kini berpeluang mengikuti pendidikan teknikal sama seperti pelajar sekolah perdana, kolej dan universiti.
Pendekatan itu memastikan golongan tersebut bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah memiliki kemahiran tambahan yang relevan dengan keperluan industri semasa.
“Setakat ini 581 pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang berjaya menghafal 30 Juzuk Al-Quran menjadi mahasiswa dalam bidang kejuruteraan termasuk beberapa lagi Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) berjaya mendidik lebih 700 pelajar dari sekolah pondok menceburi bidang TVET,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah TVET MARA, di sini.
Program itu dihadiri lebih 500 belia dengan pengisian ceramah berkaitan peluang pendidikan TVET Negara.

