KUALA LUMPUR, 11 Disember – Status perjawatan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bukan berstatus kontrak perkhidmatan (COS) .
Sebaliknya menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri( Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan, jawatan berkenaan adalah berbentuk lantikan bertempoh dan guru berkenaan menerima elaun sebanyak RM 1, 100 sebulan.
Bagaimanapun, usaha untuk menaik taraf perkhidmatan Guru KAFA terus diperkukuh, dengan langkah ke arah pengstrukturan dan pemerkasaan sedang digerakkan secara berfasa .
Ia berdasarkan penilaian fiskal negara, penelitian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dan keperluan operasi sebenar .
“Sebagai langkah kehadapan hasil daripada sesi libat urus bersama pihak yang berkepentingan, JAKIM telah pun merangka pelaksanaan program rintis kafa perdana, iaitu satu model awal bagi
menilai kebolehlaksanaan perjawatan guru KAFA secara Contract of Service yang lebih teratur dan hampir kepada struktur perjawatan tetap selaras dengan syarat-syarat perkhidmatan awam yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Berhubung cadangan menyerapkan Guru KAFA ke jawatan tetap, beliau memaklumkan sesi libat urut dilaksana bersama agensi pelaksanaan KAFA Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, JPA dan agensi berkaitan bagi merangka cadangan skim perjawatan berkenaan.
Beliau menjawab persoalan Senator Dr. Jufitri Joha yang ingin tahu usaha Kerajaan menambah baik status perjawatan kontrak guru KAFA ke jawatan tetap.

