Internet murah dan selamat: Negara Afrika mahu contohi Malaysia

AZERBAIJAN, 17 November – Usaha Malaysia dalam memastikan capaian internet bukan sahaja murah malah selamat, menarik minat beberapa negara Afrika.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata mereka berminat untuk mencontohi dan menjadikan Malaysia sebagai rujukan dalam perkara itu.

“Saya percaya yang beberapa usaha dilaksana Malaysia seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan langkah-langkah lain untuk memastikan keselamatan internet di media sosial, antara yang menarik minat mereka.

“Mereka juga mungkin berminat untuk mengetahui proses undang-undang, tentangan serta yang cabaran yang kita hadapi,” jelas Datuk Fahmi kepada pemberita selepas majlis pembukaan Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25), yang berlangsung di Baku, di sini.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia pada persidangan tersebut akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bagi berkongsi amalan terbaik dalam memastikan kesalinghubungan di negara masing-masing.

Datuk Fahmi juga akan berkongsi kejayaan Malaysia melaksanakan rangkaian 5G melalui model Single Wholesale Network, yang mencapai 80 peratus liputan dalam tempoh 10 bulan, sementara rangkaian kedua hampir 60 peratus dalam tempoh empat bulan.

“Ini penting kerana tidak semua negara melaksanakan rangkaian 5G sepantas dan sebaik Malaysia. Ada juga negara yang memilih strategi lain.

“Banyak yang boleh dipelajari dari Malaysia dan kita juga boleh pelajari mengenai perkembangan teknologi telekomunikasi di negara mereka. Ini peluang yang baik buat Kementerian Komunikasi dan MCMC,” ujarnya.

WTDC-25 yang berlangsung hingga 28 November ini membawa tema Universal, Meaningful and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future.