TANJUNG MALIM, 12 Disember – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat kejayaan membanggakan dalam program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 apabila berjaya muncul Najib Juara Kategori Animasi Pendek.
Pasukan Grill Creative daripada Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) itu berjaya membawa pulang geran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM5,000 serta Pingat Emas.
Satu lagi pasukan daripada FSKIK, iaitu Spark Studio pula tersenarai dalam ‘Top 5’ bagi projek inovasi digital terbaik, Kategori Filem Pendek, serta merangkul anugerah Best AI-Creative Poster Award untuk memenangi Pingat Emas bagi keseluruhan.
Ketua Jabatan Multimedia Kreatif FSKIK, Dr Mohd Ekram Al Hafis Hashim berkata, DICE 3.0 menghimpunkan kira-kira 320 peserta, termasuk pelajar dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara, serta jemputan dari Indonesia, Thailand dan Brunei.
“Platform ini dilihat sebagai medan penting untuk memperkasa bakat digital muda UPSI serta IPT selari dengan keperluan industri kreatif serantau dan global,” katanya.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff pula menyifatkan kejayaan ini bakal melonjak dan memperkukuh reputasi UPSI sebagai antara institusi yang aktif melahirkan bakat kreatif berasaskan inovasi dan keusahawanan digital, selari dengan aspirasi KPT untuk membentuk generasi usahawan kreatif yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Program yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre dari 1 hingga 4 September lepas itu menyaksikan sebanyak 64 projek digital kreatif dipertandingkan merangkumi animasi pendek, filem pendek, media interaktif (VR/AR) dan aplikasi permainan digital.
Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bagi kategori Most Digital Start-up Projects by Students in an International Programme.

