UPSI dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia

TANJUNG MALIM, 9 Disember – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia buat julung kalinya dalam senarai global UI GreenMetric 2025.

Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, meskipun berada pada kedudukan ke-98 ia merupakan pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan UPSI dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain komitmen terhadap agenda kelestarian serta pembangunan mampan di kampus.

“Kejayaan itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti tersohor itu dalam menjayakan inisiatif kelestarian yang digariskan melalui pelan strategik universiti.

“Kedudukan ke-98 dunia bukan sekadar kejayaan angka, tetapi simbol keutuhan misi universiti dalam membangunkan kampus yang hijau, inklusif dan mampan.

“Ia adalah hasil kerja keras semua fakulti, pentadbiran, mahasiswa serta rakan kolaborasi strategik yang sentiasa bersama menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau yakin pencapaian itu memperlihatkan kesediaan UPSI untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang proaktif dalam mendepani isu perubahan iklim dan kelestarian.

Dalam pada itu UPSI turut membuka ruang kerjasama dengan industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi memperluaskan impak program kelestarian.

“Pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai pihak ini penting kerana agenda kelestarian bukan tanggungjawab universiti semata-mata. Kita komited memastikan penyelidikan, inovasi dan pendidikan yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Peningkatan berkenaan adalah hasil penambahbaikan berterusan UPSI pada enam indikator utama penilaian UI GreenMetric, iaitu Infrastruktur Kampus, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan Kampus serta Pendidikan dan Penyelidikan Kelestarian,” katanya lagi.

Melalui pelaksanaan Pelan Strategik UPSI 2021–2025, universiti berjaya meningkatkan skor keseluruhan dengan ketara berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menepati matlamat untuk menjadikan UPSI sebagai model amalan terbaik kelestarian dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara.

Selaras dengan kejayaan berada dalam kelompok 100 universiti paling lestari di dunia, UPSI komited meneruskan agenda pembangunan rendah karbon dengan memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, memperkukuh pengumpulan data alam sekitar, menerapkan teknologi kampus pintar dan meningkatkan program pendidikan serta penyelidikan berimpak tinggi.