UMK rugi RM2 juta akibat banjir

TANAH MERAH, 10 Disember – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengalami kerugian kira-kira RM2 juta akibat gelombang pertama banjir yang melanda negeri Kelantan bulan lalu.
 
Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah, berkata kerosakan melibatkan bilik kuliah, alatan mengajar, perabot serta beberapa fasiliti lain, semuanya membabitkan Kampus Kota di Pengkalan Chepa yang ditenggelami air lebih 0.5 meter.

“Kami telah memohon peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan peralatan yang terjejas akibat banjir dapat diganti dengan segera. Pada masa yang sama, universiti telah menyalurkan peruntukan dalaman sebagai langkah awal,” katanya.

 Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Kurniaan Tengku Mahkota Kelantan yang juga Pro Canselor UMK kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amidee Abdullah, pelajar pascasiswazah yang maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam tasik di Kampus Jeli, minggu lalu.
 
Kurniaan disampaikan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, di kediaman Allahyarham di Kampung Chawas, Tanah Merah.
 
Mengulas persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya, Prof Datuk Dr Arham, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menambah sebuah lagi pam di Kampus Kota untuk mengalirkan air keluar, menjadikan lima pam keseluruhan di kawasan kampus.
 
Sementara itu, UMK akan menambah baik aspek keselamatan di ketiga-tiga kampusnya bagi mengelakkan insiden malang menimpa Allahyarham Muhammad Amidee berulang, termasuk penambahan pencahayaan dan papan tanda keselamatan.
 
UMK kini mempunyai hampir 15 ribu pelajar melibatkan Kampus Induk di Bachok, Kampus Jeli dan Kampus Kota.