GEORGE TOWN, 5 Disember – Faktor persekitaran khususnya trauma silam dan kelemahan fungsi institusi keluarga dipercayai menjadi antara punca utama kecenderungan hubungan songsang dalam kalangan lelaki.
Ketua Pegawai Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Anwar Omar berkata, pengalaman semasa kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk orientasi serta tingkah laku seseorang sehingga dewasa.
Menurut beliau, kecenderungan itu turut diperkukuh melalui pengaruh media sosial dan rakan sebaya.
“Kebanyakannya mempunyai sejarah pernah menjadi mangsa gangguan seksual sejak kecil termasuk liwat, penderaan seksual dan grooming. Faktor ini dianggap paling utama kerana ia boleh berlarutan sehingga dewasa malah berisiko berpanjangan sekiranya tidak dibendung.
“Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga sangat kuat kerana mereka cenderung membentuk kelompok yang mempunyai orientasi sama. Faktor keibubapaan turut memainkan peranan apabila keluarga gagal menjadi ruang selamat untuk mendapatkan bantuan, nasihat dan komunikasi yang terbuka,” katanya ketika ditemu bual di Unit Kaunseling USM, Gelugor.
Dalam pada itu, beliau percaya usaha pemulihan masih boleh dicapai melalui tekad yang kuat serta sokongan persekitaran, khususnya daripada keluarga dan masyarakat.
“Pemulihan boleh berlaku dengan tekad yang kuat serta sokongan circle yang positif. Jika persekitaran tidak membantu, proses pemulihan menjadi sukar. Keluarga dan masyarakat perlu mendekati golongan ini, menyediakan ruang komunikasi yang selamat supaya mereka berani tampil mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan terhadap golongan berkenaan tidak seharusnya berasaskan hukuman semata-mata, sebaliknya perlu lebih terbuka dan bersifat membimbing.
Baru-baru ini, seramai 13 lelaki dicekup kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti persundalan luar tabii dan hubungan songsang di sebuah premis di Bandar Perai Jaya, Bukit Mertajam.
Susulan itu, Exco Pembangunan Agama Islam, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dilaporkan akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti tersebut.


