Tragedi kren runtuh: Dua pekerja maut, dua lagi kritikal

PONTIAN, 13 Disember – Dua mangsa yang terselamat dalam kejadian kren mengangkut arang runtuh di Loji Jana Kuasa Malakoff, Kukup, di sini tengah hari tadi dilaporkan dalam keadaan kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan susulan serta imbasan MRI.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata seorang lagi mangsa yang cedera turut akan dirujuk ke HSA untuk pemeriksaan lanjut berikutan kebimbangan kecederaan dalaman.

“Seorang lagi mangsa masih dirawat di Zon Kuning Hospital Pontian dan difahamkan akan dikejarkan ke HSA untuk imbasan MRI kerana bimbang kecederaan dalaman. Hasil siasatan awal mendapati subkontraktor terlibat sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, lima pekerja subkontraktor penyelenggaraan kren sedang menjalankan kerja di kawasan berkenaan sebelum kren terbabit runtuh.

Dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian iaitu Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22.

Tiga lagi mangsa cedera ialah Nadzrul Azmi Sipak, 44, Muhammad Zakwan Mason, 22, dan Muhammad Daniel Hakim Mohd Tarmizi, 24, yang kini menerima rawatan di Hospital Pontian sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, bapa mentua kepada Muhammad Amaluddin, Mohamad Hussin Zulkifli, 40, berkata beliau tidak menyangka kejadian yang berlaku di hadapan matanya melibatkan menantunya sendiri.

“Hati memang terkejut. Saya ambil gambar dan hantar dalam kumpulan keluarga. Kebetulan anak beritahu suaminya bekerja di kren itu. Saya minta kawan-kawan di Tanjung Bin periksa dan akhirnya dimaklumkan ada yang meninggal dunia,” katanya.

 

BERITA BERKAITAN: