KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kerajaan melaksanakan tiga pendekatan strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026 bagi memastikan Malaysia meningkatkan kedudukan dalam nilai rantaian global selari dengan perkembangan teknologi.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pendekatan pertama memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh industri bagi mengurangkan risiko pelaburan swasta.
Beliau berkata pendekatan kedua melibatkan pelaburan bersasar dalam sektor kritikal termasuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bagi membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) berdaulat di negara ini.
“Pendekatan ketiga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat penyelidikan negara yang kini berjumlah 91,791 orang.
“Melalui peruntukan RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026, kerajaan menyasarkan latihan berskala besar bagi melahirkan lebih ramai saintis serta jurutera berkemahiran tinggi,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran di Dewan Negara.
Menurutnya, peningkatan pelaburan dalam R&D turut memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan bergaji tinggi, penstabilan harga makanan melalui inovasi teknologi, penjimatan kos sara hidup serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.
Berdasarkan R&D Kebangsaan 2022, negara mencatatkan perbelanjaan kasar sebanyak RM18.15 bilion, bersamaan 1.01 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Walaupun menunjukkan peningkatan, angka ini masih rendah berbanding negara maju. Justeru, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 2.5 peratus menjelang 2030,” katanya.

