Tiga PPS dibuka di Padang Besar

PADANG BESAR, 23 November – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Padang Besar susulan banjir yang berlaku.
 
Sehingga 4 petang tadi, seramai 46 penduduk terjejas telah ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Sireh.
 
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Ku Chik Ku Mat Isa, PPS SK Kebangsaan Titi Tinggi kini menempatkan seramai 38 mangsa daripada 10 keluarga.
 
Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Lubuk Sireh menempatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga berikutan sebahagian besar penduduk dari Kampung Wang Kelian masih berada di pusat transit sementara Masjid Nurul Husna berikutan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang yang menghalang pemindahan mangsa ke SK Lubuk Sireh.
 
Sementara sebuah lagi PPS di Sekolah Kebangsaan Felda Mata Ayer turut diaktifkan berikutan banjir kini sedang melanda kawasan sekitar Felda Mata Ayer dan belum ada mangsa dipindahkan.
 
Pihak Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia kini giat membantu mangsa yang terjejas banjir ke PPS.