KUALA SELANGOR, 10 Disember – Fungsi Ombudsman Malaysia tidak akan bertindih dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, struktur baharu itu akan memfokuskan kepada isu tadbir urus dan integriti, manakala SPRM akan melaksanakan kerja penyiasatan dan pencegahan.
Perkara itu telah diperincikan dalam pembentangan kepada kerajaan.
“SPRM pertamanya menjalankan kerja-kerja penyiasatan atau pun operasi, yang kedua kita juga menjalankan kerja-kerja pencegahan, menasihati Jabatan-Jabatan yang ada isu.
“Ombudsman satu hal lain yang menggabungkan Biro Pengaduan Awam dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan sebagainya. Jadi mereka melihat kepada isu-isu tatakelola yang timbul dalam jabatan-jabatan kerajaan dan juga mungkin GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program SPRM-UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di sini.
Kerajaan mengumumkan penubuhan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam, bagi memperkukuh keberkesanan serta integriti pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam.
Ia bersandarkan kepada agenda reformasi institusi menuju ke arah negara maju dan matang daripada segi tadbir urus, namun pada masa yang sama menjunjung prinsip integriti, bersih dan memiliki tatakelola yang baik.
Penubuhan Ombudsman Malaysia dilihat bakal membuka lembaran baharu dalam usaha negara memperkukuh integriti institusi awam, termasuk swasta.
Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijadual dibentangkan awal tahun depan.

