Tiada kompromi terhadap mana-mana individu langgar integriti – PM

PUTRAJAYA, 5 Disember – Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang mencemar integriti atau melanggar undang-undang, termasuk pegawai di Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, usaha memelihara integriti institusi bukan sahaja bergantung kepada tindakan yang diambil, tetapi turut menuntut ketelitian dalam cara tindakan itu dilaksanakan.

“Sebab itu, apabila kita membicarakan soal integriti dan kebersihan, serta mendukung segala usaha penguatkuasaan yang berani seperti yang saya sebutkan tadi, kita harus memastikan prosesnya teliti dan seluruh tindakan mematuhi prinsip negara hukum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Tindakan tatatertib akan dikenakan bagi kesalahan ringan, manakala kesalahan besar perlu disiasat dan diambil tindakan oleh agensi penguat kuasa tanpa pengecualian.

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa beliau tidak akan melindungi sesiapa atas kapasiti pemimpin negara.

“Kalau kebetulan ada anggota kita yang tersalah langkah, kalau ringan memang tindakan disiplin biasa. Kalau terlanjur besar, mesti ada kesediaan dari badan-badan penguat kuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri baru boleh selamat negara ini.

“Kalau di pejabat saya sendiri tidak terlepas daripada tindakan, mengapa tidak boleh dari pejabat KSN (Ketua Setiausaha Negara) umpamanya, malah pejabat Peguam Negara atau pejabat Tan Sri Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki).

“Kalau ini ada, maka kita telah meningkat usaha ke peringkat yang paling mulia dari sudut mempertahankan integriti dan kebersihan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan penghargaan kepada agensi penguat kuasa dalam memecahkan ‘tembok’ kartel di negara ini.

Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan terbuka, mendengar teguran dan keluhan rakyat, termasuk menerima gesaan supaya semua tindakan penguatkuasaan mesti mematuhi proses undang-undang sepenuhnya.