KUALA TERENGGANU, 22 November – Terengganu mula dilanda banjir ekoran hujan lebat yang berlaku sejak malam Jumaat dan ditambah dengan fenomena air pasang besar.
Pulau Redang, Kuala Nerus merupakan lokasi pertama banjir yang direkodkan di negeri tersebut.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, ketika ini proses pemindahan penduduk terjejas banjir sedang dilakukan agensi penyelamat.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua mangsa yang berada di kawasan rendah dan terdedah kepada banjir supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah ke PPS yang telah disediakan pihak kerajaan. Dalam pengurusan bencana ini, bukan hanya PDRM yang terlibat, kita turut dibantu oleh APM, pasukan Bomba serta agensi-agensi lain.
“Kita juga sangat mengharapkan kerjasama komuniti setempat, termasuk ketua kampung, untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak kami, terutamanya kepada Bilik Gerakan PDRM, balai-balai berdekatan dan juga Bilik Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya ketika ditemui di program Monsun Fun Ride, Fun Run dan Fun Walks PDRM 2025 di sini.
Berdasarkan luruan Monsun yang dikeluarkan MetMalaysia, bermula Ahad dijangka lebih banyak kawasan akan terjejas banjir.
Beliau yang juga Komander Operasi Bencana Negeri tahap dua berharap, masyarakat akan memberi kerjasama terbaik kepada agensi penyelamat dengan mematuhi arahan dikeluarkan.

