Tanah runtuh: 104 unit rumah di pangsapuri Seputeh diarah dikosongkan

KUALA LUMPUR, 24 November – Penduduk di dua blok pangsapuri melibatkan 104 unit kediaman di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh di sini diarahkan berpindah susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan berhampiran.

Kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menyebut, laporan berkaitan kejadian diterima pada 11.02 pagi tadi.

Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama dua jentera dengan kekuatan 11 anggota ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

Bagi mengelak sebarang risiko, semua penduduk terjejas di pangsapuri itu diarah mengosongkan kediaman, berikutan masih terdapat pergerakan tanah dan keadaan cuaca yang sedang hujan lebat.

Ketua Balai, TPgB II Armdan Mahat dalam kenyataan itu memaklumkan, kejadian melibatkan runtuhan tanah cerun yang dianggarkan sepanjang 60 meter, telah menimpa dua buah kereta serta beberapa buah motosikal.

“Sebuah kereta didapati tertimbus. Runtuhan tanah tersebut telah memasuki kawasan pangsapuri kos rendah berhampiran,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, tindakan itu dilakukan berdasarkan perbincangan bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Setakat berita ini dilaporkan, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam status di Facebooknya berkata, kira-kira 10.00 pagi tadi berlaku kejadian tanah runtuh di Taman United, di belakang Blok B Flat Taman United yang menghempap sebuah kereta.

“Tim Pusat Khidmat Parlimen Seputeh segera melaporkan kejadian tanah runtuh tersebut kepada DBKL selepas terima makluman daripada penduduk setempat. Pasukan saya turun padang pada pukul 10.40 pagi untuk meninjau keadaan di lokasi kejadian,” menurut status tersebut.

Atas faktor keselamatan, pihak DBKL meminta penduduk di Blok B dan Blok C Flat Taman United berpindah ke Pusat Komuniti Sri Petaling yang dijadikan pusat perlindungan sementara.

“Saya menyeru semua penduduk terlibat untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan dan berpindah ke tempat perlindungan dengan segera,” jelas Teresa.