Suara OKU diangkat Senator Isaiah di Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Suara komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bergema lantang di Dewan Negara apabila Senator Isaiah a/l D.Jacob tampil menuntut pembelaan lebih tegas dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, pada Selasa.

Beliau menegaskan, belanjawan adalah cerminan nilai dan keutamaan negara, dan golongan OKU tidak boleh terus menjadi “minoriti dalam keputusan dasar, tetapi majoriti dalam cabaran hidup”.

Senator Isaiah membangkitkan isu ketidakseimbangan kemudahan di 580 PDK seluruh negara, termasuk pusat yang beroperasi dalam bangunan sewaan serba kekurangan.

Beliau menekankan keperluan standard minimum kemudahan serta geran operasi tahunan supaya PDK tidak lagi bergantung kepada NGO dan sumbangan komuniti.

Isu gaji petugas turut diberi perhatian serius dengan 580 penyelia, 2,852 petugas dan 20,821 pelatih di bawah jagaan PDK, beliau mendedahkan ada petugas menerima gaji serendah RM1,200, jauh di bawah gaji minimum negara.

“Ini isu maruah dan pengiktirafan profesional,” katanya sambil menuntut kerajaan memperuntukkan dana bagi memastikan gaji minimum RM1,700 dilaksanakan.

Senator Isaiah turut menggesa kerajaan memperjelas kedudukan PDK yang sering “ditolak antara kementerian,” katanya demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara.

Beliau menegaskan PDK wajar diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan bagi menyelaras fungsi pemulihan dan penjagaan OKU dengan lebih baik.

“Kami OKU bukan anak tiri, kami anak syurga,” tegasnya, sambil merayu agar kerajaan menghentikan ketidakpastian dan memberikan perlindungan jelas kepada golongan istimewa ini.

Perbahasannya mendapat perhatian penuh dewan, dengan beberapa senator dilihat mengangguk menyokong isu-isu yang diketengahkan.