ISKANDAR PUTERI, 16 Disember– Johor menyasarkan 70 peratus pendaftaran pelajar dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata negeri itu merekodkan peningkatan 60 peratus dalam pendaftaran STEM sepanjang tahun ini.
“Di peringkat daerah, kita juga melaksanakan inisiatif dalam sektor pendidikan, termasuk memberikan tuisyen percuma kepada pelajar SPM. Setakat ini, hampir 60 peratus pelajar telah menyertai program ini, manakala baki 10 peratus lagi menjadi fokus untuk digerakkan.”
“Matlamatnya adalah memastikan kadar penglibatan pelajar Johor dalam bidang STEM menjadi yang tertinggi di Malaysia, supaya pada masa hadapan, tenaga profesional seperti doktor dan jurutera dapat lahir daripada negeri Johor,” kata Aznan semasa Perasmian Program Ayuh Johor Akademia 2025, di sini.
Tambahnya, sasaran itu mencerminkan usaha pihaknya, memastikan Johor berdaya saing untuk memenuhi keperluan tenaga kerja industri berteknologi tinggi.

