KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya memutuskan untuk mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sedia ada.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, GST dan SST mempunyai perbezaan ketara daripada segi skop dan kesan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Oleh itu, kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan struktur SST sedia ada dan menambah baiknya. Langkah ini merupakan pendekatan kerajaan untuk mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar, di mana barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh majoriti rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab tambahan daripada Senator Datuk Sivaraj Chandransesi ketika Persidangan Dewan Negara, hari ini.
Lim Hui Ying turut menjelaskan bahawa GST memberi impak secara langsung kepada pembeli dan penerima perkhidmatan serta melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan B40.
Sebaliknya, SST merupakan sistem percukaian yang lebih bersasar, telah digunakan di Malaysia sejak lebih 40 tahun lalu dan difahami dengan baik oleh industri, peniaga serta rakyat.
Kerajaan mengambil maklum mengenai kebaikan sistem GST, namun pada masa ini belum berhasrat melaksanakannya memandangkan tahap pendapatan rakyat secara umum masih rendah.
Pelaksanaan SST mampu memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan berbanding GST yang memerlukan tempoh dianggarkan sehingga dua tahun bagi membolehkan syarikat mengemas kini sistem masing-masing.
“Kerajaan telah meneliti pelbagai aspek termasuk struktur sistem percukaian negara, ruang penambahbaikan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat sebelum memutuskan pendekatan paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara ketika ini,” katanya lagi.

