SPRM, RTM jalin kerjasama sebar mesej antirasuah

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan dan RTM Kelantan bersetuju menjalin kerjasama menyebarkan mesej antirasuah kepada masyarakat menerusi hebahan media elektronik khususnya melalui saluran radio.

Kesepakatan itu dicapai pada sesi kunjungan hormat Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ke atas Pengarah Penyiaran Kelantan, Toh Swee Ming, di pejabat RTM Kelantan, hari ini.

Menurut Azmin, lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak serta membincangkan kaedah penyebaran mesej antirasuah khususnya kepada masyarakat di negeri itu.

“SPRM Kelantan dan RTM Kelantan bersetuju melaksanakan kerjasama strategik, termasuk mengadakan taklimat pencegahan rasuah serta siaran iklan antirasuah melalui saluran radio RTM Kelantan,” katanya.

Menurut Azmin usaha kolaboratif itu diharapkan dapat membudayakan nilai integriti secara berterusan, meningkatkan kesedaran masyarakat dan memastikan Kelantan bebas daripada pengaruh rasuah.

Kunjungan hormat itu turut disertai Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran RTM Kelantan, Muhammad Aiman Yusoff; Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kelantan, Najwa Mohd Sabry; Ketua Siasatan Negeri, Wan Kamal Noor Izwan; dan Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kelantan, Wan Siti Junaida Ismail.