PUTRAJAYA, 7 Disember – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dalam sebuah podcast baru-baru ini, berkaitan kononnya wujud siasatan terhadap calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu.
SPRM menerusi satu kenyataan menegaskan setiap siasatan dijalankan hanya berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima, dan melalui proses pengesahan serta tatacara siasatan yang ditetapkan undang-undang.
SPRM turut menolak dakwaan bahawa pegawai agensi itu “mengepung rumah” individu tertentu.
Menurut SPRM, kehadiran pegawai penyiasat adalah prosedur biasa bagi tujuan pertemuan dan penggeledahan untuk mendapatkan bahan bukti.
Agensi itu menjelaskan bahawa setelah disahkan individu berkenaan tidak berada di rumah, pegawai telah beredar.
Individu tersebut kemudian hadir sendiri ke pejabat SPRM pada keesokan hari untuk dirakam percakapan sebelum dibebaskan tanpa sebarang penahanan.
Dalam pada itu, SPRM menyeru semua pihak agar tidak membuat tuduhan atau tohmahan secara terbuka di media sosial tanpa bukti, kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

