SPBK platform integrasi data antara agensi pemberi bantuan

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (SPBK) bagi memperkukuhkan penyelarasan bantuan kebajikan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sistem itu akan berfungsi sebagai platform bersepadu yang mengintegrasikan data antara agensi pemberi bantuan.

Inisiatif itu bagi mengelakkan pertindihan permohonan, sekali gus dapat memastikan bantuan disalurkan secara lebih telus, bersasar dan efisien kepada golongan yang layak.

“Sebanyak 15 JKM negeri dan 105 buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, jajahan atau bahagian berfungsi sebagai pusat perkhidmatan bersemuka untuk memudahkan proses permohonan bantuan serta penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Melalui program turun padang, pasukan JKM turut digerakkan ke lokasi komuniti seperti masjid, dewan orang ramai dan pusat tumpuan setempat bagi memastikan perkhidmatan kebajikan dapat dicapai secara inklusif dan mesra rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Negara.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memperkukuh kerjasama dengan penggerak komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), penghulu dan tuai rumah.

Usaha itu bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang masih belum menerima bantuan agar tiada golongan terpinggir daripada perhatian kerajaan.