Skuad Bencana MADANI perkukuh semangat keprihatinan

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Penubuhan Skuad Bencana MADANI merupakan insiatif menyokong komuniti setempat dalam menghadapi sebarang bencana alam seperti banjir serta kecemasan yang memerlukan bantuan segera.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan skuad Bencana MADANI yang dianggotai hampir 50 anggota telah mendapat latihan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Penubuhannya mencerminkan semangat keprihatinan, kemanusiaan dan tanggungjawab sosial selari nilai serta aspirasi Malaysia MADANI,”katanya selepas menyampaikan Watikah Penubuhan Skuad Bencana MADANI.

Turut berlangsung simulasi penyelamatan mangsa banjir skuad dalam Majlis Pelancaran Skuad Bencana MADANI dan Program Sumbangan Bakul Makanan Rakyat di ibu negara.

Sementara itu Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata penubuhan Skuad Bencana MADANI itu, melengkapi peranan pasukan dan agensi bencana sedia ada dalam membantu penduduk terjejas, khususnya dari aspek sokongan komuniti dan logistik.

Setakat ini, skuad berkenaan hanya ditubuhkan di Parlimen Bandar Tun Razak dan dilengkapi dengan aset serta peralatan asas termasuk bot bagi membantu operasi menyelamat penduduk terjejas banjir dan bencana lain.