KUALA LUMPUR, 17 Disember – Seramai 1,455 pemilik kapal di Sabah menerima manfaat subsidi diesel pada tahun lalu, melibatkan jumlah penggunaan sebanyak 86.6 juta liter dengan nilai subsidi berjumlah RM116.5 juta.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak 10 juta liter diesel bersubsidi sebulan, khusus untuk Sabah yang dijangka terus memberi manfaat kepada 1,455 orang nelayan di negeri tersebut.
”Pada tahun 2025, kuota diesel bersubsidi yang diluluskan adalah 70 juta liter sebulan dengan kadar RM1.65 seliter. Sehingga bulan Oktober 2025, sebanyak 10,330 kapal telah menerima subsidi minyak diesel berjumlah 532.75 juta liter dengan nilai subsidi berjumlah RM669 juta dan jumlah ini adalah sama bagi tahun 2026,” katanya di Dewan Negara.
Tegas beliau, Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan diteruskan sebagai sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi, bagi memastikan kebajikan nelayan terus terpelihara serta menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
Skim yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sejak tahun 2006 itu bertujuan menampung sebahagian kos operasi penangkapan ikan, selain memastikan kelangsungan aktiviti perikanan tangkapan dan kestabilan bekalan ikan di pasaran.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan mekanisma penyaluran subsidi diesel nelayan akan beralih secara berperingkat daripada penggunaan kad pengenalan (IC) kepada aplikasi mudah alih.
Usaha kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu bertujuan memastikan hanya nelayan yang layak menerima subsidi tersebut, selainmengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan.
”Bagi mereka yang mengambil minyak, wajah penerima akan dicatat melalui telefon. Langkah ini sedang dilaksanakan di Tumpat dan Tawau.
“Namun, bagi kawasan pendalaman seperti jeti di kawasan bakau yang tiada talian internet, kaedah lama masih digunakan. Pihak LKIM sedang berusaha memperkenalkan sistem baharu ini melalui aplikasi,” katanya.
Usaha tersebut merupakan antara inisiatif berterusan LKIM bagi memperketat pemantauan pengagihan subsidi minyak nelayan, selain memastikan bantuan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh nelayan yang benar-benar menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

