SEPANG, 1 Disember – Sekolah Kebangsaan Desa Putra, Kajang dipilih sebagai ‘Sekolah Angkat’ kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Sekolah Angkat MADANI Tahun 2025.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Isham Ishak berkata, ia merupakan acara kemuncak bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di bawah KPKM yang merupakan inisiatif strategik kerajaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran yang menyumbang kepada pembangunan sekolah sejajar dengan agenda MADANI.
Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI, peruntukan RM100,000 disediakan oleh kerajaan bagi menaik taraf infrastruktur serta fasiliti pembelajaran di sekolah yang dipilih.
“Sumbangan yang kita berikan berjumlah RM100,000 dan banyak kerja pembaikan telah dilaksanakan di sekolah ini. Kita juga menerima sumbangan CSR daripada kerajaan Turkiye melalui syarikat-syarikat dari Türkiye, termasuk peralatan elektronik seperti smartboard, set robotik, peralatan komputer, audio visual dan sistem PA.
:Semua ini memberi nilai tambah kepada sekolah, kerana ia membolehkan para pelajar mempelajari teknologi maklumat dengan lebih baik, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI KPKM Tahun 2025.
Majlis turut dihadiri Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel.
Selain itu, aspek keceriaan di persekitaran sekolah turut diberi perhatian dengan menghias dinding sekolah dengan mural yang membawa mesej kreativiti dan inspirasi, penggantian papan tanda sekolah yang uzur di samping mengindahkan landskap bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan kondusif kepada murid.
Selain membawa nilai tambah kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah itu, KPKM melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga mengukuhkan aspek keterjaminan makanan negara dengan mempromosikan pendidikan dan aktiviti pertanian di peringkat sekolah.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Republik Türkiye di Malaysia di atas sumbangan peralatan pendidikan dan alat bantuan mengajar terkini kepada pihak sekolah untuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.

