Sindrom Brugada antara punca utama kematian mengejut

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Individu berusia di bawah usia 45 tahun terutamanya golongan lelaki terdedah dengan sindrom Brugada yang merupakan antara punca utama kematian mengejut.

Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur, Datuk Dr. Azar Azman Abu ketika mendedahkan perkara itu memaklumkan, sindrom berkenaan merupakan gangguan jantung yang berpunca daripada masalah genetik dengan risiko terdedah kepada golongan lelaki antara lapan hingga 10 kali ganda berbanding golongan wanita.

“Sindrom Brugada sering berlaku tanpa tanda awal dan sukar dikesan melalui pemeriksaan biasa. Pesakit juga lazimnya tidak menunjukkan sebarang kecacatan struktur pada jantung.

“Individu yang kelihatan sihat turut berisiko mengalami gangguan ritma jantung secara tiba-tiba, terutamanya ketika tidur,”katanya selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia.

Pada 1992, Sindrom Brugada telah dikenal pasti menerusi ujian ECG yang dijalankan ke atas dua beradik dari Sepanyol yang meninggal dunia pada usia muda.

Di Asia Tenggara pula, sindrom Brugada mempunyai prevalens yang agak tinggi seperti di Filipina dan Thailand, apabila mencatatkan kes tinggi kematian dalam tidur melibatkan individu muda yang sihat.

Bagaimanapun di Malaysia, belum ada data khusus mengenai kes berkenaan, memandangkannya sukar dikesan melalui bedah siasat.

“Dalam kebanyakan kes kematian mengejut, struktur jantung kelihatan normal walaupun punca sebenar adalah gangguan elektrik jantung,”katanya.

Buat masa ini, rawatan paling berkesan bagi pesakit berisiko tinggi adalah pemasangan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) iaitu alat yang ditempatkan di bawah kulit untuk mengejutkan jantung jika berlaku irama tidak normal.

“Selain itu, ubat seperti quinidine turut digunakan dalam kes tertentu, terutama bagi pesakit yang tidak sesuai atau enggan menjalani prosedur pemasangan ICD.

“Justeru, masyarakat digalak untuk mengambil tahu mengenai sindrom Brugada dan risikonya. Jika ada dalam kalangan keluarga mempunyai sejarah kematian mengejut, pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan,”katanya.