Serangan udara Israel di Gaza ragut nyawa komander tertinggi Hamas

BAITULMAQDIS, 14 Disember -Komander tertinggi Hamas, Raad Saad dilaporkan terkorban dalam satu serangan udara di Semenanjung Gaza pada Sabtu.

Agensi pertahanan awam dan sumber perubatan di wilayah Palestin yang ditadbir Hamas memaklumkan kepada AFP bahawa satu serangan Israel telah mengorbankan lima individu di daerah Tel al-Hawa, barat daya Bandar Gaza.

Tentera Israel sebelum ini tidak mengesahkan sama ada serangan di Tel al-Hawa itu merupakan serangan sama yang dirujuk dalam kenyataan tentera susulan kenyataan bahawa Hamas kehilangan pemimpinnya, Raad Saad.

Sumber keluarga mengesahkan kematian Saad kepada AFP dan memaklumkan bahawa pengebumiannya dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, lima individu terbunuh selepas sebuah kenderaan awam jenis jip menjadi sasaran berhampiran Bulatan Nabulsi di Tel al-Hawa.

Menurutnya, mayat mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Al-Shifa selepas pesawat perang Israel melancarkan tiga peluru berpandu ke arah kenderaan tersebut sehingga menyebabkan ia terbakar dan musnah.

Jabatan kecemasan hospital mengesahkan penerimaan lima mayat dan memaklumkan lebih 25 individu turut cedera dalam serangan itu.

Dalam kejadian berasingan, Bassal turut memaklumkan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 18 tahun terbunuh akibat tembakan Israel di dua lokasi berbeza di Gaza. 

Bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, tentera Israel telah berundur ke kedudukan di belakang Garisan Kuning, namun masih menguasai lebih separuh wilayah Gaza.

Walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober berjaya menghentikan pertempuran secara besar-besaran, keadaan kekal tegang dengan kedua-dua pihak saling menuduh pelanggaran perjanjian. – AFP