GEORGE TOWN, 1 Disember – Seorang pekerja wanita maut, manakala tujuh lagi cedera parah selepas van kilang yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar tembok jalan dalam kejadian di Jalan Mount Erskine, awal pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.59 pagi sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Tujuh yang parah termasuklah seorang lelaki yang merupakan pemandu van dan enam lagi pekerja wanita.
Operasi melibatkan 16 anggota dan penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dibantu BBP Lebuh Pantai.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit sebelum semuanya berjaya dikeluarkan pada 7.17 pagi,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Kesemua mangsa diberi rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut.
Manakala mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.50 pagi.

