Sentiasa merendah diri, berpegang pada nilai moral – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR, 29 November – Graduan diingatkan agar tidak alpa dengan kejayaan yang dikecapi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) turut mengingatkan graduan supaya kekal merendah diri dan berpegang pada nilai moral agar tidak tergelincir ketika menempuh cabaran apabila memasuki alam pekerjaan.

“Anda bakal berhadapan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Jangan bersifat kacang lupakan kulit. Jadilah insan yang mengamalkan resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Gunakan kebijaksanaan untuk membina dunia yang lebih adil, damai, makmur dan lebih berperikemanusiaan,” titah baginda dalam pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-65 UM yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa beliau kepada negara.

Baginda juga merakamkan penghargaan kepada warga universiti susulan kejayaan UM tersenarai pada kedudukan ke-58 terbaik dunia dalam QS World University Rankings, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai universiti utama negara.

Istiadat Konvokesyen Ke-65 UM mencatat sejarah apabila meraikan seramai 11,356 graduan, iaitu jumlah graduan tertinggi sejak penubuhan universiti itu 120 tahun yang lalu.

Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 686 orang adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 5,171 graduan Ijazah Sarjana serta Diploma Pascasiswazah Pendidikan, diikuti 4,127 graduan Ijazah Sarjana Muda, manakala 1,372 lagi penerima diploma lanjutan, diploma eksekutif dan diploma.

Istiadat konvokesyen itu melibatkan 22 sidang bermula hari ini hingga 10 Disember.