Sembilan pekerja sesak nafas terhidu gas toksik di Kerteh

CHUKAI, 1 Disember -Sembilan pekerja sebuah kilang memproses makanan haiwan mengalami sesak nafas selepas terhidu gas bertoksik ketika melakukan kerja penyelenggaraan tangki di Taman Biopolimer Kerteh, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.51 petang ketika semua mangsa berusia 23 hingga 40 tahun itu sedang memulakan kerja pembersihan ‘continuous reactor tank’.

Insiden dipercayai tercetus apabila salah seorang pekerja membuka penutup tangki, menyebabkan gas ammonia dan gas toksik lain keluar ke kawasan sekitar.

Pelepasan gas tersebut membuatkan semua mangsa mengalami gangguan pernafasan sebelum dibantu rakan sekerja yang membawa mereka ke kawasan selamat.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil berkata, pihaknya menggerakkan 18 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Semua mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Paka untuk rawatan awal sebelum enam daripadanya dirujuk ke Hospital Dungun.

Tiga lagi dibenarkan pulang selepas keadaan stabil,” katanya.

Pasukan Hazmat kemudian melaksanakan teknik ‘water suppression’ bagi menurunkan bacaan gas bertoksik di kawasan operasi.

Operasi ditamatkan pada pukul 1.05 pagi tadi selepas bacaan gas kembali normal dan tiada lagi kehadiran bahan berbahaya dikesan.