SejaTi MADANI galak peneroka Felda Kelantan transformasi produk hiliran

GUA MUSANG, 8 September – Peneroka di 11 tanah rancangan Felda wilayah Kelantan digalakkan melaksanakan transformasi produk hiliran melalui peruntukan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi menambah pendapatan.

Pengarah Felda Wilayah Gua Musang, Mohd. Ardi Baharom berkata, program itu memperuntukkan RM100,000 bagi setiap projek yang diusahakan.

Setakat ini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda telah mengemukakan 11 permohonan dan dua daripadanya telah diluluskan.

“SejaTi MADANI membawa perubahan, bukan lagi sekadar mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. Jika sebelum ini kita memberi ikan, kali ini kita memberi pancing untuk peneroka berusaha dan menjana pendapatan. Dari usaha ini, insya-Allah ia akan terus berkembang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda Wilayah Gua Musang di Felda Chiku 1, di sini.

Menurut Mohd. Ardi, terdapat lebih 15,000 warga Felda di 11 tanah rancangan wilayah itu termasuk tiga di Kemahang, Tanah Merah.

Katanya lagi, kehidupan komuniti Felda kini semakin baik dan selesa hasil pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di tanah rancangan masing-masing.