Sarawak dijangka lebih cerah pada minggu mendatang

KUCHING, 9 Disember – Keadaan cuaca di Sarawak diramal lebih cerah bagi minggu mendatang, selepas tiga hari berdepan hujan lebat.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim berkata, berdasarkan laporan yang dikemaskini lewat malam tadi Sarawak diramal menerima taburan hujan lebih rendah daripada beberapa hari sebelum ini.

“Monsun timur laut ni adalah satu musim yang lembap bagi negara kita, keadaan hujan masih boleh dijangkakan pada waktu petang di seluruh Sarawak,” katanya ketika dihubungi RTM.

Bagi kawasan pergunungan pula beliau menjelaskan kadar hujan lebat mungkin mengakibatkan takungan air yang tinggi.

Ia berupaya mengakibatkan banjir kilat di kawasan rendah namun ia bersifat sementara sehingga air takungan mengalir ke laut.