KUALA LUMPUR, 10 November – Sekolah Agama Rakyat (SAR) swasta disaran mendaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan kebajikan pelajar terus terjamin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr.Zulkifli Hasan menegaskan pendaftaran tersebut penting bagi membolehkan bantuan kepada sekolah berkenaan dapat diagihkan sewajarnya di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri.
Ini termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Tahfiz dan Institusi Pondok yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
“Bagi memastikan, menjamin kebajikan, keselamatan dan kebajikan anak-anak, kita nasihatkan mereka untuk mendaftar. Sekiranya belum cukup atau belum memenuhi syarat untuk pendaftaran, bolehlah mendaftar ataupun sementara waktu di sekolah-sekolah lain yang dibenarkan untuk mengikuti peperiksaan,” kata beliau ketika menjawab pertanyaan dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

