ALOR SETAR, 16 Februari- Sebanyak 10 buah motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah kedai menjual kenderaan itu di Kampung Tengah, Alor Setar, kira-kira pukul 3.59 pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata kebakaran melibatkan struktur rumah kedai kelas A, berukuran 20×40 kaki persegi.
Katanya, tindakan pantas bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut.
“Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan dua jentera dari BBP Alor Setar bersama-sama 14 anggota dikejarkan ke lokasi insiden tersebut.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Bagaimanapun, seorang anggota bomba mengalami kecederaan semasa kerja-kerja operasi pemadaman dijalankan.
“Anggota yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.

