RTM sentiasa teroka kaedah penyampaian, perkhidmatan efisien

PUTRAJAYA, 6 Disember – Reformasi dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan penting bagi memastikan pegawai awam sentiasa bersedia mendepani cabaran baharu, sekali gus menguasai kemahiran dan memimpin perubahan masa hadapan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, RTM sentiasa mencari kaedah terbaharu bagi memastikan penyampaian serta perkhidmatan yang lebih efisien dan berkesan.

“Kita telah pun mempraktikkannya di RTM dan sentiasa melakukan penambahbaikan. Kita pun perlukan garis panduan untuk apa yang harus dibuat selepas ini.

“Setiap kali berbincang atau apabila diadakan pemukiman, RTM sentiasa mencari cara untuk berkomunikasi dengan lebih bagus. Bagaimana kita boleh menjadi lebih efisien, boleh buat banyak penjimatan dan boleh menaikkan kualiti perkhidmatan.

“Dalam tempoh lebih dua tahun, kita telah melakukan dengan sangat baik,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menjadi panel pada forum Peranan Komunikasi Total Dalam Meningkatkan Produktiviti Perkhidmatan Awam di sini.

Menurut Datuk Suhaimi, RTM sentiasa memperhebat setiap misi yang dilaksanakan, sekali gus meletakkan kualiti dan pencapaian pada tahap tertinggi.

“RTM dari semasa ke semasa sentiasa memperhebat apa yang dilakukan dan sentiasa memastikan kualiti berapa pada tahap yang amat tinggi.

“Saya berbangga dengan semua kakitangan di RTM kerana mereka bekerja keras dan ini terbukti apabila kita tengok balik apa yang telah kita lakukan, data-data yang diperoleh. Saya rasa RTM sedang melakukan dengan cukup baik,” katanya lagi.