BAGAN DATUK, 24 November – Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak menerima Anugerah Media Lestari sempena sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Perak.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai penghargaan terhadap komitmen berterusan RTM dalam menyiarkan laporan mengenai pemuliharaan dan isu alam sekitar secara konsisten.
Penganugerahan itu turut mengiktiraf peranan penting RTM sebagai medium utama dalam menyampaikan mesej kesedaran serta tanggungjawab terhadap kelestarian kepada masyarakat.
Dalam majlis sama, penyanyi tersohor negara, Datuk Awie dilantik sebagai Duta Alam Sekitar Negeri Perak bagi memperkukuh kempen kesedaran hijau di negeri tersebut.
Turut menerima pengiktirafan ialah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Serdang Permai yang memenangi kategori Komuniti Lestari, manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diumumkan sebagai penerima kategori IPT Lestari.
Sementara itu, Ulu Bernam Optimill Sdn. Bhd. dipilih sebagai penerima Anugerah Industri Lestari, dan Masjid Ar Ridzuan, Parit Buntar diiktiraf melalui Anugerah Masjid Lestari.

