RTM bersedia jadi penyiar Junior Innovathon musim depan

KUALA LUMPUR, 17 November – Jabatan Penyiaran (RTM) bersedia untuk menjadi penyiar Junior Innovathon pada musim akan datang kerana impak program itu bukan sahaja mencungkil idea inovatif peserta, malah berjaya menghasilkan projek kreatif yang berpotensi untuk dikomersialkan serta dimanfaatkan masyarakat.

Bagaimanapun menurut Ketua Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari RTM Wan Lukman Mohamed Fisol, perkara itu tertakluk kepada inisiatif daripada Kementerian Ekonomi sebagai penaja utama program tersebut.

“Program ini berjaya mengembangkan potensi inovator masa depan malah produk yang dihasilkan berpotensi dipasarkan.

“Malaysia menyediakan pelbagai institusi pendidikan untuk anak muda mengembangkan potensi dan kemahiran termasuk kolej vokasional, institusi kemahiran selain universiti. Jadi saya melihat masa depan mereka dalam bidang ini sangat cerah,” jelasnya.

Junior Innovathon 2025 yang melabuhkan tirainya pada Ahad menobatkan Kumpulan STEMSIRA dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Perlis sebagai juara bagi kategori sekolah menengah dengan inovasi Alat Pengesan dan Penapis Gas Karbon Monoksida (co-safe).

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 dan trofi.

Guru SMK Syed Sirajuddin, Wan Mohd Shakir Wan Nordin memberitahu laporan kemalangan berpunca daripada gas menjadi inspirasi buat STEMSIRA untuk menghasilkan projek yang mampu mencegah insiden sedemikian.

“Projek ini melibatkan peralatan elektronik yang memerlukan pengaturcaraan yang kompleks. Bagaimanapun dengan bantuan rakan-rakan dan sokongan padu pihak sekolah, kami berjaya merangkul kejuaraan ini,” ujarnya.

Turut menerima hadiah sama, kumpulan THE 3 “I” GENIUSES dari Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Father Barre, Kedah yang diangkat sebagai juara bagi kategori sekolah rendah dengan hasil inovasi ‘Bag Me Up’.

Guru SK Convent Father Barre, Dr. Mohammad Syafiq Abd Rahman berkata masalah beg berat yang membelenggu murid mencetuskan inovasi ‘Bag Me Up’ dengan konsep penggendong bayi (baby carrier).

“Cabaran utama yang kami hadapi sepanjang proses melengkapkan projek ini adalah mencari bahan yang sesuai untuk dijadikan Bag Me Up. Kami juga perlu mencari tukang jahit yang boleh menghasilkan prototaip dengan ketepatan hampir 90 peratus mengikut lakaran asal,” katanya.

Junior Innovathon yang menerima lebih 2,000 penyertaan itu melibatkan kolaborasi Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Komunikasi menerusi RTM sebagai penyiar strategik.

Kemuncak Program Junior Innovathon 2025 yang berlangsung di Angkasapuri menyaksikan 10 pasukan terbaik daripada 50 pasukan sekolah rendah dan menengah seluruh negara berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.