KUALA LUMPUR, 16 Disember – Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh pasukan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia, kabinet baharu ini dilihat stabil dan menampilkan keseimbangan politik yang kukuh, sekali gus menunjukkan koordinasi yang baik dari pelbagai sudut.
“Kabinet ini turut menampilkan muka baharu, selain melantik semula mereka yang pernah menjadi timbalan menteri untuk mengisi jawatan menteri. Pendekatan ini membolehkan penggunaan kepakaran dan pengalaman mereka bagi menghadapi tahun-tahun akan datang dengan pembaharuan yang lebih besar,” katanya.
Rombakan kabinet ini dijangka memperkukuh jentera pentadbiran kerajaan dalam mendepani cabaran semasa dan masa hadapan, selain memperlihatkan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran yang efektif.

