KUALA LUMPUR, 17 Disember – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa bukanlah satu ‘reset’ atau pembentukan semula politik secara menyeluruh.
Sebaliknya, ia bertujuan memperkukuh kecekapan, meningkatkan prestasi serta mempertingkat keyakinan terhadap Kerajaan MADANI dalam menghadapi fasa pentadbiran yang lebih mencabar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata, langkah tersebut mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri untuk mengukuhkan kerajaan campuran, di samping memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI terus diperkasa.
“Kerajaan ketika ini berada di persimpangan penting menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun akan datang.
“Dalam konteks ini, kestabilan kerajaan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan sokongan politik di Parlimen, sebaliknya perlu dinilai melalui kejelasan hala tuju dasar, keupayaan pelaksanaan serta keberkesanan jentera pentadbiran dalam melaksanakan tugas dan fungsi masing-masing.
“Justeru, rombakan Kabinet ini mencerminkan peralihan fokus kerajaan daripada fasa konsolidasi politik kepada fasa yang lebih kritikal, iaitu penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan (delivery) dan prestasi pentadbiran (performance),” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata rombakan Kabinet ini berpotensi menyusun semula portfolio kementerian agar lebih selari dengan keutamaan nasional, di samping mengurangkan pertindihan fungsi, memperkemas struktur pentadbiran serta meningkatkan koordinasi antara kementerian.

