KUALA LUMPUR, 10 September – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan daya saing universiti awam (UA) agar kekal relevan dalam arena pendidikan tinggi global melalui tonggak reformasi pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menterinya, Datuk Ts. Mustapha Sakmud memaklumkan antara langkah utama ialah transformasi tadbir urus termasuk otonomi dan pendanaan, pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pemerkasaan ekosistem penyelidikan dan inovasi.
“KPT telah mengenal pasti Universiti Malaya sebagai pelaksanaan projek rintis otonomi penuh, yang dijangka meningkatkan daya saing universiti tempatan dalam arena pendidikan tinggi global,” katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali di Dewan Negara di sini.
Beliau berkata otonomi penuh itu akan memberi kebebasan strategik kepada universiti dalam menyusun kurikulum, mempercepat adaptasi kepada trend global seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan bioteknologi, selain membolehkan UA mencipta sumber pendapatan baharu melalui kerjasama industri, program pendidikan eksekutif, penyelidikan berbayar dan pelaburan.
Tambahnya, usaha itu juga dapat membantu universiti menarik bakat akademik berprestasi tinggi dari seluruh dunia, menyesuaikan program dengan pasaran global, serta bersaing dalam ranking antarabangsa.
Dalam aspek pengantarabangsaan pula, KPT menekankan kepada perluasan program berkembar, kerjasama antarabangsa dan peningkatan daya saing global Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Sementara itu, RMK13 turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekosistem penyelidikan dan inovasi termasuk memantapkan penajaan pendidikan bagi pelajar pascasiswazah tempatan, sekali gus membangunkan kumpulan penyelidik berkaliber tinggi.

