Risiko banjir: DBKU senaraikan 22 lokasi panas

KUCHING, 11 Disember – Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyenaraikan 22 lokasi panas banjir di daerah tersebut.

Antara lokasi disenaraikan adalah, Kampung Pulau, Bintawa, Mempat, Kudei Baru, Jalan Hospital, Gita Laut, Pinang Jawa, Buntal, Bako, Semerah Padi, Tupong Ulu dan Tupong Jaya, serta Taman Matang Jaya.

Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Dato’ Hilmy Othman memaklumkan, sebanyak 56 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menampung 12,000 orang penduduk terjejas diaktifkan.

Semua aset dan jentera agensi-agensi terlibat bagi operasi bencana telah bersiap sedia lebih awal.

DBKU bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

“Semua aset, jentera serta prosedur operasi telah disemak dan disediakan lebih awal, termasuk kerja penyelenggaraan dan flushing sistem perparitan di kawasan berisiko tinggi seperti Padang Merdeka dan beberapa kawasan rendah lain. Tindakan awal ini berjaya mengurangkan impak banjir kilat yang sebelum ini sering berlaku.

“Penambahbaikan besar turut dibuat di kawasan Metrocity dan Taman Won melibatkan kos lebih RM2 juta.

“Aset operasi DBKU termasuk backhoe loader, trak logistik, high-mast lighting, bot penyelamat, jaket keselamatan, pita keselamatan, serta generator mudah alih turut berada dalam keadaan siap siaga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan persediaan banjir Operasi Bencana DBKU di Kuching.

Pemantauan turut diperkukuh melalui Pusat Khidmat 24 Jam DBKU (PK24J) yang disokong oleh 80 unit CCTV, Unit Bantu dan Unit Ronda bagi memberi maklumat masa nyata kepada pasukan respons kecemasan.

DBKU menasihatkan penduduk terutama di semua lokasi panas supaya berwaspada, mematuhi amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia serta menjaga keselamatan diri dan harta benda sepanjang musim Monsun Timur Laut.