KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) sedang giat memperhalusi pelan tindakan RESET bagi menangani isu kenaikan mendadak kos rawatan di hospital swasta dan peningkatan premium insurans kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata usaha ini merupakan komitmen ‘whole-of-government’ untuk memastikan akses kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh rakyat pada harga yang wajar.
“Kami mendengar keluhan rakyat mengenai kenaikan mendadak kos rawatan di hospital swasta dan kenaikan premium insurans.
“Oleh itu, KKM dan MOF sedang giat memperhalusi pelan tindakan RESET untuk menangani isu ini secara tuntas dan menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Perbincangan lanjut mengenai pelan tindakan tersebut diadakan dalam satu sesi mesyuarat pra-majlis (pre-council) di sini hari ini bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, inisiatif di bawah kerangka RESET akan diumumkan secara rasmi pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama KKM–MOF (JBMKKS) ketiga yang dijadualkan berlangsung pada Januari tahun hadapan.
“Kami menyasar untuk mengumumkan reka bentuk dan konsep produk insurans asas baharu (Base MHIT), yang dijangka akan dapat memberikan perlindungan yang lebih meluas dan mampan,” jelas beliau.
Selain pengenalan Base MHIT (Malaysian Health Insurance/Takaful) yang baharu, KKM dan MOF juga memberi tumpuan kepada penambahbaikan mekanisme harga dan caj rawatan.
“Kami akan memastikan ketelusan harga yang lebih baik. Rakyat berhak mengetahui anggaran kos rawatan sebagai panduan sebelum mereka membuat apa-apa keputusan,” katanya.
Katanya, libat urus bersama pihak industri kesihatan dan insurans sedang dilaksanakan bagi menjamin struktur caj rawatan ditambah baik demi kepentingan rakyat.
“Nantikan perincian lanjut pada Januari nanti!,” katanya.
RESET merujuk kepada lima teras strategik iaitu menambah baik tawaran insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT); meningkatkan ketelusan harga; memperkukuh sistem kesihatan digital; memperluas pilihan rawatan yang berkesan dari segi kos dan mengubah mekanisme pembayaran penyedia perkhidmatan.
Sebanyak 11 inisiatif utama berpandukan lima teras strategik akan dilaksanakan untuk mengurangkan kadar kenaikan inflasi perubatan.

