Rangka kapal purba, artifak Pulau Melaka akan dipamer kepada umum

AYER KEROH, 10 Disember – Rangka kapal purba dan artifak yang ditemui berhampiran Pulau Melaka pada Oktober lepas akan dipamerkan kepada masyarakat umum, tahun depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia akan dipamerkan di Muzium Maritim Melaka, Bandar Hilir.

“Kita telah membuat keputusan, artifak dan juga kapal purba yang dijumpai akan dipamerkan di muzium bawah PERZIM (Perbadanan Muzim Melaka) untuk tatapan pelancong dan pengunjung. Dengan penemuan artifak dan juga kapal ini, satu lagi produk pelancongan baharu didapati di negeri Melaka yang tidak terdapat di negeri lain. Hanya di Melaka,” katanya.

Beliau memberitahu sidang media selepas hari terakhir Persidangan Ketiga (BAJET) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Razak memaklumkan sebanyak 220 pengisian program pelancongan telah diatur sepanjang Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) tahun hadapan.

Majlis pelancaran TMM2.0 akan diadakan pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, 31 Disember ini di Encore Melaka dengan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.