Rakyat Labuan sambut baik pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI

LABUAN, 13 Disember – Rakyat Labuan menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang dilihat berkesan dalam membantu meringankan kos sara hidup penduduk setempat.

Keprihatinan kerajaan dalam menyediakan subsidi barangan keperluan bukan sahaja memberi manfaat kepada isi rumah, khususnya golongan B40, malah turut dinikmati oleh peniaga serta penjaja kecil di pulau tersebut.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited membela kebajikan rakyat serta membantu menstabilkan ekonomi penduduk.

1312 LBN PJRM SARA UNTUK RAKYAT 2Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek/Foto RTM

Menurut beliau, selain memperkenalkan Program Jualan Rahmah MADANI, kerajaan turut menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada golongan yang memerlukan.

Langkah tersebut, katanya, membolehkan rakyat menikmati keperluan asas dengan lebih mudah sekali gus membantu menampung kos sara hidup yang ditanggung.

“Alhamdulillah, kerajaan memperkenalkan inisiatif yang akhirnya memberi manfaat kepada semua rakyat dan membantu meringankan bebanan, khususnya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, Simsudin turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan peruntukan bantuan subsidi bagi Program Jualan Rahmah MADANI pada tahun 2026, yang dijangka memberi manfaat lebih luas kepada rakyat di seluruh negara.