KUALA LUMPUR, 11 Disember – Penganjuran program ‘R.A.C.E to ZERO 2026’, yang akan diadakan pada 28 April tahun depan mempamerkan komitmen Malaysia dalam memacu peralihan tenaga bersih.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu merupakan satu gerakan untuk membina keupayaan, menghubungkan perniagaan, membuka lebih banyak projek, serta mencipta momentum dalam usaha peralihan tenaga negara.
“Komitmen Malaysia adalah jelas iaitu sasaran mencapai sifar bersih (Net-zero) menjelang 2050 serta pengurangan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030. Di peringkat Asia, peralihan tenaga bersih dilihat sebagai faktor utama yang akan menentukan daya saing negara-negara Asia dalam tempoh lima dekad akan datang.
“Keputusan yang kita buat hari ini sama ada dalam dasar, teknologi, pelaburan, atau kerjasama akan membentuk bukan sahaja industri, tetapi juga sumber rezeki dan legasi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Peralihan Tenaga Bersih Asia (CETA) 2025 di ibu negara hari ini.
Malaysia turut menyokong pelaburan dalam tenaga bersih dan bersedia membantu penggiat industri yang ingin menyertai usaha peralihan tenaga negara.
Kini, para pelabur memberi fokus kepada empat perkara utama, iaitu dasar yang jelas, kestabilan peraturan, tarif yang kompetitif, dan akses secara meluas kepada tenaga bersih.
Beliau turut menyifatkan eksport 50 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui pertama Malaysia ke Singapura melalui platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) sebagai bukti keupayaan teknikal negara serta kesediaan rantau untuk perdagangan elektrik hijau.

