Putrajaya perlu jadi contoh aktiviti perpaduan, semua pihak digesa proaktif

PUTRAJAYA, 23 November – Semua persatuan, pertubuhan dan komuniti digesa meningkatkan aktiviti perpaduan bagi memastikan keharmonian penduduk di Putrajaya terus terpelihara.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Mohd Zulhelmi Syaffudin Tan berkata sebagai pusat pentadbiran negara, Putrajaya perlu menjadi contoh dalam memupuk semangat kebersamaan.

Justeru, beliau menekankan agar semua persatuan, pertubuhan, dan komuniti lebih proaktif menganjurkan program yang menghimpunkan pelbagai kaum.

2311 MALAM PERPADUAN MADANI 2Mohd Zulhelmi Syaffudin Tan/BERNAMA

“Kerajaan Madani sentiasa memberi perhatian serius terhadap semua aktiviti perpaduan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Saya juga menyeru kepada semua pihak termasuk Pengerusi Persatuan, Pertubuhan dan NGO supaya memperbanyak aktiviti perpaduan dalam kalangan penduduk Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Perpaduan MADANI sempena Deepavali 2025, di sini pada Sabtu.

Mohd Zulhelmi turut memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tidak dapat menghadiri majlis itu kerana sedang mengadakan lawatan kerja rasmi ke tiga negara Afrika bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkongsi bahawa Datuk Seri Dr Zaliha turut mengucapkan tahniah kepada semua ahli Persatuan Malindian Putrajaya dan Cyberjaya (PCMA) atas komitmen terbaik dalam penganjuran majlis tersebut.

Majlis itu turut dihadiri Presiden PCMA, Datuk V. Murugiah dan lebih 200 ahli PCMA. Pada majlis sama, seramai 50 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga B40 menerima sumbangan barang keperluan asas.