Pulau Redang lokasi pertama di Kuala Nerus dilanda banjir

KUALA NERUS, 22 November – Pulau Redang menjadi lokasi pertama di daerah Kuala Nerus yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Jumaat, sekali gus membuka sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pertama di negeri itu.

Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 260 penduduk terjejas daripada 87 keluarga, dipindahkan ke PPS Masjid Kampung Pulau Redang, setakat pukul 6.00 petang.

“PPS Masjid Kampung Pulau Redang dibuka pada pukul 11.30 pagi bagi menempatkan penduduk yang terjejas. Hujan lebat dan paras air laut yang tinggi menyebabkan Kampung tersebut dilanda banjir.

“Keadaan cuaca kini dilaporkan masih hujan berterusan, sekali gus meningkatkan risiko paras air terus naik,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, agensi-agensi berkaitan kini memantau perkembangan banjir secara rapi dan langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan kebajikan semua penduduk terjamin.

Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan diminta berpindah sekiranya diarah pihak berkuasa.