PRU DUN Sabah dijangka sebelum November ini

PENAMPANG, 21 September – Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka diadakan sebelum November ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan pilihan raya sebelum DUN Sabah terbubar secara automatik pada bulan tersebut.

“Memang tidak lama lagi, sabarlah tunggu, kalau cuaca ini terang kita bubarlah, cuaca baik nanti. Itu jabatan kaji cuaca, kita yang menentukan. Kita tidak ada pilihan sebab tempoh Dewan terbubar sendiri bulan November. Jadi mesti kita adakan sebelum itu, tunggu sahaja, sokong kerajaan hari ini”, katanya.

Datuk Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tarikh pembubaran DUN Sabah.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di Penampang.