KUALA LUMPUR, 29 November – Bagi membantu pemilik kenderaan yang terkesan akibat banjir, PROTON melancarkan Program Bantuan Banjir 2025 bermula 26 November 2025 hingga 31 Mei 2026.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan kos pembaikan dan memastikan pelanggan menerima sokongan yang tepat, agar kenderaan mereka dapat dibaiki dengan lancar dan teratur sepanjang musim monsun.
“Pemilik kenderaan yang terjejas digalakkan untuk mengunjungi pusat servis PROTON yang terdekat apabila keadaan sudah selamat. Juruteknik terlatih akan menjalankan pemeriksaan dan mencadangkan kerja pembaikan berdasarkan struktur program ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, menerusi program tersebut, pelanggan yang dilindungi oleh Proton Insurance Programme (PIP) layak menerima diskaun sehingga 50 peratus untuk alat ganti terpilih.
Sementara itu, pelanggan tanpa PIP turut menikmati diskaun sehingga 30 peratus bagi alat ganti terpilih.
Program tersebut ditawarkan di semua Pusat Servis serta cawangan Body & Paint (B&P) PROTON di seluruh negara.

